Wednesday, November 25, 2009

Cancer Cells in Our Nation

Setiap kali tahun baru muncul, hampir setiap orang menanam azam baru, dan tidak kurang pula yang tertunggu-tunggu untuk menyambut kedatangan tahun baru terutamanya detik-detik ke tahun baru. Mereka sibuk mengira-ngira secara ke belakang, dalam erti kata mudah, countdown.

Itu fenomena yang menggambarkan kegembiraan menyambut tahun baru. Namun, setiap kali itu jugalah terpamer kerosakan akhlak bangsa kita (Bangsa Melayu). Berapa ramai anak gadis yang berjaya dirosakkan pada malam tersebut? Berapa ramai pemuda yang menghisap dadah, menunggang arak, membuat onar, vandalisme pada malam tersebut? Dan, berapa ramai pula bayi yang akan lahir sebagai anak tak sah taraf hasil kegembiraan menyambut tahun baru?

Renungkan, itukah harga yang perlu dibayar untuk menggambarkan keseronokan menyambut tahun baru? Itukah harga yang perlu dibayar untuk pengorbanan datuk nenek kita memperjuangkan Kemerdekaan Tanah Melayu?

Hebat benar ideologi barat, kepala anak-anak muda kita dirobek-robek dengan idea-idea yang merosakkan. Lihatlah saja istilah "Prom Night". Bukan main teruja anak-anak muda mereka untuk menghadirinya. Di majlis tersebut, bukan sahaja tari-menari yang dibanggakan tetapi agenda selepas majlis tersebut. Anak-anak gadis sibuk berharap agar mereka berjaya kehilangan dara pada malam tersebut. Bagi yang tidak berjaya, seolah-olah satu kegagalan besar bagi mereka.

Situasinya sama sahaja, berkenaan sambutan hari tertentu. Tetapi, sebagai ibubapa, apa perasaan kita? Anak yang ditatang dari kecil tiba-tiba membelakangkan rasa hormat kepada ibubapa demi memenuhi tuntutan nafsu remaja yang telah dipesongkan. Sanggupkah kita melalui peristiwa ini untuk kesekian kalinya? Lebih parah lagi, berlarutan setiap hari sehingga dada-dada akhbar penuh dengan hidangan berita yang menjatuhkan maruah bangsa kita. Inilah sel-sel barah yang semakin merebak di dalam bangsa kita yang sekiranya dibiarkan boleh melumpuhkan bangsa.

Nafsu, suatu tuntutan, fitrah kepada kejadian manusia. Namun begitu, dianugerahkan juga akal untuk menyeimbangkan keperluan nafsu dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. Sebagai ibubapa, didikan dan disiplin yang betul perlu diterapkan kepada anak-anak. Bermula dari diri sendiri. Perbetulkan tindakan kita kerana anak-anak cenderung meniru tingkahlaku persekitarannya, terutama orang yang dekat dengan mereka, iaitu ibubapa.

Bukan sekadar pembentukan tingkahlaku, tetapi kawalan emosi juga penting bagi mengelakkan anak-anak terjerumus ke kancah kebinasaan. Didik emosi anak-anak dengan bertindak balas terhadap sesuatu ransangan secara sederhana. Misalnya, keinginan untuk berhibur. Dedahkan mereka dengan hiburan yang berbentuk mendidik jiwa dan minda mereka. Jadi di sini, peranan ibubapa adalah menentukan bentuk hiburan yang bermanfaat untuk anak-anak.

Kini peranan ibubapa bukan sekadar melahirkan dan menyekolahkan anak-anak mereka. Ibubapa perlu bijak menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Adakalanya kita perlu berperanan sebagai ibubapa. Pada masa yang lain pula, kita perlu berperanan sebagai kawan. Tidak mustahil juga pada sesetengah masa kita perlu berperanan umpama pegawai polis. Sebab itulah apabila menjadi ibubapa, kita mesti bersikap dinamik kerana pada masa yang berbeza, keperluan dan kehendak anak-anak berbeza. Kebijaksanaan ibubapa menyeimbangkan keperluan dan kehendak anak-anak akan membolehkan anak-anak menilai buruk baik sesuatu perkara.

Tidak dinafikan, pergaulan penting untuk sosialisasi anak-anak. Tetapi, sejauh mana pergaulan itu berkembang, ke mana hala tujunya perlulah dipantau. Pengalaman membuktikan rakan sebaya lebih berpengaruh terhadap remaja. Tidak mengapa jika ia adalah pengaruh yang positif, tetapi bagaimana jika ia pengaruh negatif? Sebab itulah kawalan pergaulan anak-anak perlu bermula dari awal. Kita perlu mengenali siapa kawan-kawan anak kita, ajari anak-anak memilih kawan dan terangkan tujuan kita berkawan.

Jangan biarkan persekitaran mendidik anak-anak kita sebaliknya biarlah segalanya bermula dengan didikan kita. Buanglah sikap malu tidak bertempat dan ubahlah adat yang tidak bermanfaat. Ajak anak-anak berbincang untuk mengembangkan minda mereka di samping mengelakkan mereka rasa tersisih atau terlarang untuk berbincang dengan orang dewasa. Sekiranya anak-anak dihalang untuk berbincang dengan ibubapa, mereka akan mencipta dunia sendiri di mana mereka boleh mengutarakan pandangan tanpa ada sekatan. Sekiranya ia berterusan, tidak mustahil suatu masa nanti ibubapa tidak lagi berpeluang berbincang dengan mereka. Jadi, apakah nilai kita sebagai ibubapa di mata anak-anak? Oleh itu, usahalah dari peringkat awal agar sel-sel barah ini tidak merebak dan seterusnya menghancurkan bangsa kita.

0 Orang Membebel Kat Saya Di sini:

My Love Story

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Mari Mengalunkan Zikir...Tenangnya

Related Posts with Thumbnails